Penglihatan yang sihat amat penting untuk perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak. Masalah penglihatan kanak-kanak yang tidak dibetulkan akan mengganggu kebolehan mereka untuk belajar, dan boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka apabila dewasa kelak. Pengenalpastian awal penyakit atau masalah mata adalah penting kerana lebih awal rawatan diterima, lebih mudah masalah itu dibetulkan atau dikendalikan.
Oftalmologi paediatrik adalah pakar dalam masalah mata dan perkembangan penglihatan kanak-kanak. Doktor ini mempunyai kepakaran untuk memeriksa dan merawat kanak-kanak dengan cara yang boleh membuatkan mereka berasa selesa serta memberikan kerjasama. Biasanya kanak-kanak tidak merungut mengenai masalah penglihatan mereka, oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk memerhatikan simptom yang memerlukan anda berjumpa pakar oftalmologi paediatrik.
Bila Perlu Mendapatkan Rawatan
- Jika anda mempunyai sejarah keluarga mata bermasalah ketika kecil
- Jika anda dapati anak sering menggosok atau mengelipkan mata
- Jika anda dapati anak menyengetkan kepala atau menutup satu mata, terutama ketika memfokus pandangan
- Jika anak anda mempunyai masalah juling yang berterusan atau sekali-sekala
- Jika anak anda bermasalah untuk menumpukan perhatian dan sukar membaca perkataan di papan putih atau buku
- Jika anak anda merungut penglihatannya kabur
- Jika anak anda merungut sakit mata atau sakit kepala
- Jika anak anda mengalami rasa gatal dan tidak selesa di sekeliling mata
- Jika anak anda memegang objek dekat dengan matanya atau duduk dekat dengan skrin
- Jika anak anda alami kesukaran melakukan aktiviti harian
- Jika mata anak anda merah atau berair